Masalah Pengangguran - Cadangan Untuk Mengatasi
Tangani
masalah pengangguran
Oleh
Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my
Setakat Jun 2015 dianggarkan Malaysia mempunyai 14.7 juta tenaga
kerja dengan lebih 400,000 orang termasuk dalam golongan mencari pekerjaan pada
setiap masa atau menganggur.
Seramai 107,000 orang daripada jumlah penganggur itu pula
terdiri daripada graduan lepasan diploma, ijazah dan ke atas. Dengan istilah
lain, kadar pengangguran di Malaysia berada pada paras 3.2 peratus daripada
jumlah tenaga buruh.
Tersentak dengan jumlah berkenaan? Jika kini jumlah itu dilihat
agak tinggi, bagaimana pula keadaannya pada tahun-tahun akan datang? Ini kerana
setiap tahun, universiti awam mahupun swasta kita melahirkan ramai graduan.
Bagaimanapun, pada ketika ini, itu adalah hakikat yang perlu diterima.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar
berkata, walaupun kadar pengangguran itu belum dikategorikan sebagai
membimbangkan, Kerajaan tetap berkewajipan untuk mencari langkah bersesuaian
bagi menangani masalah pengangguran.
Maka, lahirlah program dan skim latihan pekerjaan untuk golongan
terbabit seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), iaitu satu projek tanggungjawab
korporat sosial (CSR) bagi meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan graduan
mendapatkan pekerjaan.
“Kita mahu membantu mereka seramai mana yang kita boleh dan
dengan menyediakan pelbagai latihan bermanfaat terkandung di dalam SL1M, ia
dirasakan amat bertepatan.
“Selain itu, dalam hal ini juga, menjadi keperluan pihak
industri dan majikan untuk membantu Kerajaan menyediakan tempat dan peluang
pekerjaan kepada golongan muda yang menganggur,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan mensasarkan untuk melahirkan seramai 15,000
pelatih SL1M menjelang 2016 berbanding 10,000 tahun ini.
Statistik menunjukkan, setakat ini, sebanyak 210 syarikat swasta
dan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) yang menyertai SL1M terus komited dan
pihaknya yakin jumlah itu dapat ditingkatkan lagi menerusi semasa ke semasa
dalam membantu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui Program SLIM
yang dijalankan oleh syarikat masing-masing.
“Kami sentiasa mengalu-alukan syarikat sama ada di bandar
mahupun luar bandar yang ingin terbabit sama dalam program SL1M sebagai
komitmen menyokong agenda pembangunan modal insan yang berdaya saing.
“Program latihan seperti ini bukan saja dapat mengurangkan kadar
pengangguran dalam kalangan graduan, tetapi juga meningkatkan bilangan graduan
yang mempunyai pengalaman alam pekerjaan yang sebenar.
“Malah, menerusi pengalaman saya berjumpa dengan peserta, mereka
berubah menjadi lebih baik dari segi pertuturan, penampilan mereka dan amat
berkeyakinan tinggi apabila berhadapan dengan orang ramai selepas menyertai
program ini,” katanya.
Sejak 2011 hingga kini, seramai 70,000 graduan di seluruh negara
dibantu SL1M dan daripada jumlah itu, seramai 26,140 graduan dibantu secara
terus menerusi program SL1M yang dijalankan oleh syarikat, manakala graduan
selebihnya dibantu secara tidak langsung menerusi ‘Program Outreach’ SL1M yang
dijalankan di seluruh negara.
Program SL1M dikelolakan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana
Menteri melalui kerjasama dan komitmen daripada GLC dan syarikat swasta seluruh
negara. Fokus utama program ini adalah graduan ijazah sarjana muda dan ke atas
yang belum mendapat pekerjaan, berasal daripada keluarga berpendapatan rendah
dan tinggal di luar bandar.
Peserta akan dilatih firma yang ambil bahagian bagi meningkatkan
keyakinan diri dan mendapat pekerjaan di syarikat berkenaan, tertakluk kepada
kekosongan jawatan dan prestasi peserta.
Peserta atau graduan terbabit juga diberi pendedahan serta
pengalaman kerja sebenar di syarikat yang terdiri daripada pelbagai sektor di
seluruh negara. Pasukan petugas tentu boleh menambah baik aplikasi konsep atau
pendekatan ini bagi membantu graduan lebih mudah mendapat pekerjaan.
Buktinya, SL1M mendapat sambutan dan penyertaan menggalakkan
daripada GLC dan syarikat swasta serta graduan sejak dilancarkan pada 1 Jun
2011.
Antara faedah yang diperoleh graduan melalui latihan
kebolehpasaran oleh pihak syarikat terbabit adalah mereka mendapat pendedahan
dan pengalaman bekerja di syarikat terdiri daripada pelbagai sektor, menerima
latihan kemahiran insaniah (komunikasi, pemikiran kreatif dan analitik, etiket,
dandanan dan sebagainya), latihan pekerjaan (maksimum hingga 12 bulan) dan
elaun bulanan minimum RM1,000.
Bagi syarikat yang menyertai program ini pula, Kerajaan
memperkenalkan beberapa insentif untuk menghargai kerjasama dan sokongan yang
diberikan. Antaranya, insentif potongan cukai berganda iaitu potongan dua kali
melalui kaedah cukai pendapatan dan skim levi caruman HRDF.
Sementara itu, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail
berkata, berdasarkan banyak kajian dilakukan pihak universiti dan agensi
pekerjaan, antara faktor pengangguran adalah sikap penganggur yang memilih
pekerjaan selain cerewet dengan tawaran gaji.
Bagi golongan graduan pula, antara punca pengangguran adalah
kelulusan dimiliki tidak menepati pasaran pekerjaan, tidak memenuhi kehendak
majikan atau hanya lulus ‘cukup makan’, kurang keyakinan diri, lemah dalam
penguasaan Bahasa Inggeris, kurang kemahiran berkomunikasi dengan baik dan
sebagainya.
“Oleh itu, kita mahu sampaikan mesej kepada semua bahawa SL1M
ini bagaikan peluang kedua kepada mereka untuk mendapatkan pengalaman dan
pekerjaan.
“Program ini dilaksanakan atas dasar CSR dan juga amal jariah
syarikat yang menyertai bagi membantu ramai graduan terutamanya graduan yang
berasal dari kawasan pedalaman dan berpendapatan rendah meningkatkan
kebolehpasaran mereka sekali gus turut meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.
“Saya juga amat mengalu-alukan penyertaan lebih banyak lagi GLC,
syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat swasta Malaysia ke
dalam SL1M,” kata Norashikin.
Tiada
bayaran dikenakan dan tiada had usia ditetapkan bagi mereka yang mahu mendaftar
SL1M ini. Pendaftaran boleh dibuat di laman web rasmi Unit Perancang Ekonomi,
Jabatan Perdana Menteri dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini di www.facebook.com/Skim-Latihan-1Malaysia-SL1M.
Artikel ini
disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 8:02 AM
https://www.hmetro.com.my/node/98428
Pengangguran graduan perlu dipandang serius
myMetro
Kuala Lumpur: Isu pengangguran graduan perlu dilihat serius oleh
kerajaan terutama menjelang pembentangan Bajet 2017, Jumaat ini.
Ketua Jabatan Pengurusan Sumber Manusia dan Pengajian Pengguna
Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohamad
Fazli Sabri berkata, dalam keadaan ekonomi lembap sekarang banyak graduan tidak
mendapat pekerjaan.
“Dalam mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020,
pelaburan modal insan perlu dititikberatkan dan kerajaan perlu merangka sesuatu
supaya graduan yang baru tamat pengajian mendapat pembelaan sewajarnya.
“Bajet kali ini perlu beri perhatian khusus kepada golongan ini
iaitu menyediakan peluang dan ruang bagi mereka menikmati pendidikan ke tahap
tertinggi, contohnya MyBrain15 yang diperkenalkan pada 2011 membabitkan
pembiayaan program ijazah sarjana dalam negara (MyMaster), program pembiayaan
pengajian ijazah kedoktoran dalam negara (MyPhD) dan program MyPhD Industri,”
katanya.
Mohamad Fazli berkata, skim MyBrain15 sebagai penyelesaian bagi
graduan menganggur apabila mereka boleh menyambung pengajian ke tahap tertinggi
sementara menunggu ekonomi tempatan dan global stabil.
“Saya harap kerajaan pelbagaikan insentif dan bentuk skim bagi
graduan melanjutkan pendidikan di peringkat ijazah sarjana dan ijazah
kedoktoran.
“Selain itu, saya harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membuat pemantauan serius berhubung kos sara
hidup,” katanya.
Katanya, kos sara hidup tinggi menggusarkan rakyat dan kerajaan
melalui KPDNKK perlu memainkan peranan tegas membendung masalah itu.
“Kerajaan perlu berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif dan
pelan tindakan bertepatan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup masyarakat
pada masa kini.
“Masyarakat
mula bimbang dan kini tertekan dengan kos sara hidup semakin naik, kerajaan
terutama KPDNKK perlu melakukan sesuatu terhadap pengilang dan pemborong yang
memanipulasi harga,” katanya.
Artikel ini
disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 3:35 PM
https://www.hmetro.com.my/node/174944
Pengangguran
siswazah meruncing
A KADIR JASIN
18 DISEMBER 2016
DUA tajuk
berita minggu ini cukup menarik untuk dibincangkan dan didalami kesannya. Satu
berlaku di Malaysia dan satu lagi di luar negara. Kedua-duanya mengenai isu
yang sama, iaitu krisis guna tenaga.
Berita dalam
negara yang disiarkan akhbar The Sun menyentuh kadar pengangguran yang semakin
meningkat, khususnya dalam kalangan siswazah.
Saya telah
banyak kali mengulas mengenai hal ini tetapi apa yang memeranjatkan ialah
keadaan menjadi bertambah meruncing dengan begitu cepat.
Berita dari
luar negara pula berupa kenyataan Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan
Pembangunan (OECD) mengenai beban pengangguran dunia yang dijangka berterusan
buat satu jangka masa panjang.
Laporan dalam
negara yang memetik butir-butir daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan
pengangguran dalam kalangan siswazah memuncak pada September lalu, kepada 34
peratus berbanding 30 peratus tiga tahun lalu.
Ini bermakna 34
orang daripada setiap 100 lulusan universiti atau seorang dalam tiga tidak
mempunyai pekerjaan. Berdasarkan anggaran tenaga buruh seramai 14 juta orang,
hampir setengah juta gagal mendapatkan pekerjaan. Daripada jumlah itu, 25
peratus berkelulusan universiti.
Apa yang
sangat-sangat membimbangkan adalah tatkala pasaran buruh menguncup akibat
kelembapan ekonomi, bilangan yang lulus universiti pula meningkat setiap tahun.
Perangkaan ini
menunjukkan ekonomi negara menjadi semakin buruk sejak tiga tahun lalu akibat
faktor dalam dan luar negara.
Kadar
pengangguran siswazah hari ini mungkin lebih tinggi daripada mana-mana jangka
masa ekonomi negara mengalami kelembapan misalnya pada pertengahan tahun
1980-an apabila kerajaan memperkenalkan skim latihan siswazah menganggur.
Di bawah skim
itu, siswazah diambil bekerja oleh jabatan dan agensi kerajaan dengan elaun
bulanan RM500 dan diberikan latihan. Banyak syarikat swasta turut membantu
dengan mengadakan skim yang serupa walaupun upahan dan bentuk latihannya
berbeza. Skim yang lebih kurang sama dilancarkan pada 2011 bertujuan membantu
siswazah yang menganggur mendapat pekerjaan.
Bagaimanapun,
memandangkan semakin ramai siswazah gagal mendapat pekerjaan, maka keberkesanan
program itu tidaklah sebaik rancangan sebelum, di mana boleh dikatakan semua
siswazah akhirnya mendapat pekerjaan.
Laporan itu
mengatakan majikan menyalahkan kadar pengangguran siswazah yang semakin
meningkat itu kepada ketidakseimbangan di antara bilangan jawatan baharu yang
diwujudkan dengan bilangan siswazah yang memasuki pasaran buruh, selain sikap
memilih kerja oleh sesetengah siswazah.
Banyak majikan
kurang berminat mengambil graduan baharu kerana kecenderungan mereka melompat
kerja semata-mata untuk mencari gaji lebih baik tanpa memikirkan soal latihan
dan pengalaman.
Majikan yang
ditemu ramah memberi amaran bahawa tanda-tanda menunjukkan pengangguran dalam
kalangan siswazah akan meningkat lagi tahun depan berdasarkan unjuran
pertumbuhan ekonomi.
Jabatan
Perangkaan juga mendapati kenaikan gaji dalam kalangan pekerja berijazah sangat
tidak memuaskan. Gaji bulanan purata mereka sepanjang tahun ini meningkat hanya
RM100 daripada RM3,000 kepada RM3,100.
Sementara
laporan OECD pula berkata, secara keseluruhannya bilangan penganggur dunia
dijangka mencapai rekod di antara 219 juta hingga 234 juta orang tahun ini
akibat kelembapan ekonomi global.
OECD adalah
gabungan 34 buah negara dan wilayah yang paling maju ekonominya di dunia. Kita
tidak termasuk dalam kumpulan itu. Dua laporan ini mengesahkan betapa buruknya
situasi guna tenaga kebangsaan dan global.
Bagi kita di
Malaysia, adalah menjadi harapan agar kerajaan dan majikan swasta lebih peka
terhadap kebajikan pekerja tempatan, khususnya siswazah.
Jika siswazah
gagal mendapat pekerjaan yang sesuai dan dengan pendapatan setimpal maka
harapan kita untuk mencapai status negara maju dan kaya mustahil terlaksana.
Sejak Dasar
Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1971, golongan inilah yang menjadi pemangkin
kepada mobiliti sosial dan ekonomi. Mereka inilah yang banyak menyumbang ke
arah pembentukan kelas menengah yang menjadi antara penyumbang utama kepada
pertumbuhan pesat ekonomi negara.
Justeru, adalah
amat penting bagi kita mengutamakan pekerja tempatan, khususnya graduan dan
ahli profesional, dalam mengisi kekosongan jawatan sektor awam dan swasta.
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/a-kadir-jasin/pengangguran-siswazah-meruncing-1.599831
KAMPUS
Menganggur: Mahasiswa perlu ubah mentaliti
ROSHLAWATY RAIEH & MARINA SAHABUDIN
17 OGOS 2016
MENURUT laporan Kajian Pengesanan
Graduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi tempoh beberapa
tahun kebelakangan ini (2011-2015), tidak menampakkan perbezaan yang ketara. Untuk
tempoh lima tahun tersebut, data menunjukkan purata 75 peratus graduan berada
dalam kelompok mereka yang bekerja. Sekitar 25 peratus lagi atau 1 dari 4
graduan menyatakan mereka masih menganggur atau belum berjaya mendapatkan
pekerjaan.
Melihat kepada trend tersebut,
Pengarah, Pusat Keusahawanan dan Kerjaya (CEC), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni
(HEPA), Universiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Shaari Abd Rahman berkata,
angka 25 peratus yang masih menganggur, menunjukkan masalah pengangguran dalam
kalangan graduan masih belum punyai penyelesaian yang tuntas.
"Statistik tenaga buruh
siswazah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, angka bilangan
penganggur siswazah berlaku peningkatan tahun demi tahun. Bagi tahun 2015
sahaja, dilaporkan lebih 112,000 siswazah menganggur berbanding 108,000 pada
tahun sebelumnya.
"Walaupun peratusan siswazah
menganggur atau masih belum bekerja agak stabil bagi tempoh lima tahun,
peningkatan dari segi angka bilangan siswazah menganggur memberikan petanda
bahawa berlaku lebihan penawaran guna tenaga berbanding permintaan oleh
industri dalam pelbagai sektor," katanya.
Peningkatan graduan lepasan diploma
atau ijazah makin meningkat dek kerana penambahan pelbagai institusi pengajian
tinggi awam dan swasta di negara ini. Bukan menyalahkan institusi, namun bila
makin ramai graduan yang menganggur, ini tentunya memberi gambaran yang tidak
elok pada industri di Malaysia.
Untuk mengelakkan tahap
pengangguran itu makin meninggi, mahasiswa yang baru sahaja menamatkan
pengajian perlu 'berbuat sesuatu' untuk meneruskan kelangsungan hidup
seterusnya membina masa depan yang cemerlang. Bak kata pepatah “berakit-rakit
ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang- senang
kemudian”, “di mana ada kemahuan di situ ada jalan" dan "nak
seribu daya tak nak seribu dalih”.
Siapkan diri dengan pelbagai
kemahiran
Isu Kampus minggu ini membicarakan
tentang pengangguran di kalangan graduan yang semakin meningkat saban tahun.
Isu kritikal sebegini bagaikan
tiada jalan penyelesaian. Walaupun industri menawarkan pekerjaan, namun ia
masih belum cukup untuk menampung permintaan graduan yang terlalu ramai.
Banyak faktor yang menyebabkan
penuntut lepasan universiti menganggur. Selain sikap siswazah itu sendiri yang
terlalu memilih pekerjaan atau pekerjaan yang ditawarkan tidak setaraf dengan
kelulusan, pemikiran seperti “akan terus menganggur selagi tiada kerja yang
bersesuaian dengan diri" antara penyebab pengangguran terus berlaku.
Menangani pengangguran sebegini
bukan mudah sebenarnya. Tetapi, ada perkara yang boleh mengubah mahasiswa
daripada terus menganggur seperti mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran
insaniah (soft skills).
Menurut Wikipedia, kemahiran
insaniah merujuk kepada ciri-ciri keperibadian, daya tarik sosial, kemampuan
berbahasa, norma peribadi, sikap kepekaan atau kepedulian serta sikap optimis
seseorang.
Ia melengkapi kemahiran lahiriah
(hard skills) iaitu kemahiran yang berkaitan dengan keupayaan teknikal dalam
pekerjaan dan ilmu yang berkait rapat dengan sistem terkini.
Kemahiran insaniah mencakupi
beberapa aspek iaitu kualiti peribadi yang merangkumi erti tanggungjawab,
kepercayaan diri, kemampuan berinteraksi, pengendalian diri, integriti dan
kejujuran.
Sekiranya graduan memiliki segala
kemahiran sebegini, insya-Allah, peluang terbuka luas untuk mereka memperoleh
pekerjaan kelak.
Untuk mahasiswa baharu yang akan
memulakan pengajian mereka bermula September depan, dinasihatkan supaya dapat
menggunakan sepenuhnya peluang yang ada di universiti masing-masing untuk
menimba sebanyak mungkin ilmu, di samping melengkapkan diri dengan pelbagai
kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan kelak.
Kemudahan seperti yang disediakan
oleh Pusat-Pusat Pengajian, Pusat Pendidikan Asas Liberal (PPAL) selain aktif
dalam pelbagai aktiviti keusahawanan, kesukarelawanan, kebudayaan, kesukanan
dan lain-lain aktiviti anjuran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), haruslah
dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap mahasiswa.
Sewajarnya anda menggunakan tempoh
tiga hingga empat tahun yang berharga ini untuk menggilap potensi yang ada pada
diri anda untuk terus menjadi warganegara yang cemerlang setelah menamatkan
pengajian kelak.
Guna peluang semasa belajar
Peluang berada di institusi
pengajian tinggi haruslah digunakan sebaik mungkin oleh mahasiswa dalam
membentuk keperibadian seorang warganegara yang aktif memberikan sumbangan
kepada agama, bangsa dan negara.
Apabila mula bergelar siswazah dan
berada di pasaran pekerjaan, mereka haruskan mempunyai iltizam dan kesungguhan
yang tinggi di samping dapat menonjolkan kelebihan dan kemahiran unik menepati
kehendak majikan. Jangan mudah putus asa dalam usaha membina kerjaya cemerlang,
ambil peluang untuk terlibat dalam pelbagai bentuk skim latihan, sentiasa ambil
peduli tentang pelbagai maklumat kerjaya, sama ada oleh agensi mahupun Alma
Mater.
Sementara itu, dalam isu lebihan
graduan dan mengakibatkan majikan terpaksa 'demand' dalam mendapatkan pekerja,
Pengarah, Pusat Keusahawanan dan Kerjaya (CEC), HEPA, UMT, Dr Mohd Shaari, ada
pandangannya yang tersendiri.
"Ibarat pembeli mempunyai hak
untuk memilih barang yang ingin dibeli, sebagai majikan sudah pasti ingin
memilih yang terbaik untuk organisasi mereka. Dengan kepesatan pembangunan teknologi
dan sistem kerja yang lebih berkesan, pastinya majikan akan mencari
kelebihan-kelebihan ini untuk berdaya saing dalam industri.
"Kebanyakan majikan sentiasa
meletakkan pengalaman kerja sebagai salah satu syarat untuk mengambil pekerja.
Untuk itu, institusi pendidikan juga harus memikirkan untuk memberikan
pendedahan dan pengalaman bersesuaian kepada bakal graduan mereka,"
katanya.
Menurut penuntut Fakulti Filem
Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Fatrim Syah Abd
Karim, pengangguran dalam kalangan mahasiswa masa kini berpunca daripada
kurangnya persediaan sebelum melangkah keluar daripada universiti.
"Pada tahun akhir pengajian,
mereka sepatutnya sudah mula merisik kerja yang bersesuaian. Bila sikap
bertangguh ini tidak dilaksanakan mereka kemudiannya hanya akan memilih kerja
yang sesuai dengan kelulusan.
"Antara lain, majikan masa
kini juga semakin 'demand'. Rata-rata majikan meletakkan syarat dan kelayakan
yang mungkin tidak dapat direalisasikan oleh graduan baharu. Ada di antara
majikan mahukan pekerja yang mempunyai pengalaman bermula setahun
sehingga ke lima tahun dalam pekerjaan yang dipohon. Sedangkan graduan baharu
belum pernah menjalani pekerjaan kecuali latihan praktikal," katanya.
Tambah Fatrim, meskipun ramai
graduan yang selesa memilih bekerja dalam bidang atau jurusan sama ketika di
universiti, namun tidak semua mahasiswa bersifat begitu.
"Kebanyakannya tidak
begitu, tapi tidak dinafikan sikap ini hanya akan menjerat diri kerana
mahu menunggu kerja yang sesuai sehingga membuang masa mereka. Disebabkan
perkara inilah ramai graduan tidak bekerja dan menjurus kepada
pengangguran," katanya.
Akui Fatrim, sebelum memasuki
universiti, dia pernah bekerja di pelbagai tempat seperti hotel dan pasar raya.
"Pada saya, tidak semestinya
dengan berbekalkan ijazah, saya terus melompat ke atas, sebaliknya saya sanggup
menimba pengalaman baharu bermula dari bawah.
"Nasihat saya, graduan tidak
boleh terlalu 'demand' kerana masih ramai majikan yang bertolak ansur
dalam isu pekerja baharu," katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mobile/kampus/menganggur-mahasiswa-perlu-ubah-mentaliti-1.553197
Program Khas Bagi Graduan
Menganggur
Details
Published on Wednesday, 18 May 2016 12:04
KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu akan memperkenal tiga program baru untuk
mengatasi masalah pengangguran graduan di negeri ini, selewat-lewatnya akhir
tahun ini.
Menteri Besar Ahmad Razif Abdul
Rahman berkata tiga program itu ialah Sekolah Bergerak, Pengurus Kediaman-Fasa
Kedua dan Khidmat Fisioterapi Bergerak.
"Sekolah Bergerak memberi
peluang pekerjaan kepada graduan memberi tuisyen kepada beberapa sekolah
terpilih mengikut jadual ditetapkan.
"Buat permulaan, kita
cadangkan graduan yang berminat, mengikuti Skim Penempatan Siswazah Terengganu
(T-GAS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk
lebih mahir dalam aspek pembelajaran dan pengajaran.
"Mereka akan diberi elaun
RM1,000 setiap bulan selama enam bulan dan program ini secara tidak langsung
dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang itu," katanya di sini,
hari ini.
Ahmad Razif berkata Pengurus
Kediaman-Fasa Kedua pula memberi keutamaan kepada graduan yang mahu menjalankan
tanggungjawab itu serta ditambah tugas lain mengajar tuisyen kepada anak
majikan dengan gaji lebih tinggi berbanding RM900 pada masa ini.
"Kerajaan negeri juga
memerlukan jururawat dalam bidang fisioterapi yang boleh memberi perkhidmatan
dari rumah ke rumah. Program ini akan dikelola Yayasan Pembangunan Keluarga
Terengganu (YPKT),” katanya.
Menurutnya, peluang juga mungkin
diberi kepada belia yang akan mengikuti kursus asas fisioterapi sama ada
bersama Kolej Universiti Tati (Tatiuc), Universiti Sultan Zainal Abidin
(UniSZA) atau Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (Tesdec).
- Harian Metro
http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/611655-program-khas-bagi-graduan-menganggur.html
No comments:
Post a Comment